PERLAWANAN akhir pilihan Malaysia Futsal Cup (MFC) pilihan antara Johor Darul Ta’zim dan Pahang Rangers mungkin sekali lagi berulang musim ini apabila kedua-dua pasukan berjaya mengelak daripada bertemu lebih awal selepas berlangsung majlis undian rasmi.

JDT yang bergelar juara baharu Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 diundi bertemu Sabah manakala Pahang Rangers bakal bertemu pasukan dari Divisyen 2, Kedah dalam aksi yang akan dilangsungkan secara timbal balik.

Selain JDT dan Pahang Rangers, perlawanan lain memperlihatkan KL City akan bertemu Shah Alam City manakala Selangor pula bakal bersaing dengan Gombak TOT United untuk merebut tempat ke separuh akhir.

JDT dibawah kendalian Juan Antonio Miguel Garcia dijangka tidak berdepan masalah berdepan Sabah mahupun pemenang antara KL City dan Shah Alam City untuk sekali lagi layak ke final dalam tempoh dua tahun.

Pahang Rangers pula dilihat berdepan tugasan yang lebih mudah apabila bertemu Kedah sebelum bertemu pemenang antara Gombak dan Selangor dengan Selangor semakin meningkat sejak pusingan kedua MPFL.

Saingan MFC 2024 sedikit berbeza musim ini dengan Pahang Rangers akan dikendalikan oleh pengendali baharu, Luis Fonseca yang menggantikan khidmat Gerard Casas yang berhijrah ke Sepanyol.

Hasrat Pahang Rangers untuk mempertahankan kejuaraan juga diganggu dengan kecederaan tonggak import, Murillo Saad yang terpaksa dilepaskan tetapi posisi itu akan digantikan oleh seorang pemain import baharu yang akan diumumkan kelak.

Sebagai rekod, final musim lalu menyaksikan satu perlawanan dramatik di mana JDT gagal mempertahankan kelebihan awal sebelum akur kepada Pahang Rangers menerusi penentuan penalti untuk membolehkan wakil Pantai Timur itu menjulang kejuaraan berganda futsal Malaysia.