CORAK permainan pantas dan menyerang dijangka akan digunakan oleh pengendali baharu Harimau Malaya, Pau Marti Vicente pada aksi pertamanya sebagai ketua jurulatih apabila bertemu Filipina dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
Meskipun dia tidak mendedahkan sebarang taktikal atau pendekatan yang akan digunakan, namun berdasarkan senarai pemain-pemain yang dipilih, jelas pengendali asal Sepanyol itu mahu menggunakan taktikal menyerang dan bertahan dengan pantas.
Dengan lima pemain ‐ Syafiq Ahmad, Romel Morales, Haqimi Azim, Darren Lok dan Safawi Rasid boleh bermain sebagai penyerang, Pau Marti dilihat tidak mempunyai masalah memilih penyerang utama tetapi kekuatan di bahagian sayap sekali lagi akan menjadi kunci kepada kemenangan Malaysia.
Gandingan Arif Aiman dan Akhyar Rashid sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dan kepantasan gelecekan dan membuat keputusan dari dua pemain ini pastinya akan diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Filipina yang jika digunakan secara tepat, mampu membebaskan pemain serangan dari kawalan ketat.
Kekuatan di sayap juga akan dibantu oleh dua pertahanan yang sentiasa akan membuat ‘overlapping‘, Matt Davies, Corbin Ong atau Daniel Ting yang sekali lagi akan menyukarkan barisan pertahanan Filipina untuk menyekat kemaraan Harimau Malaya.
Ditambah juga kekuatan di bahagian tengah dengan Afiq Fazail atau Nooa Laine akan bertindak mengawal di hadapan benteng berempat dan Paulo Josue serta Endrick bakal mengawal tempo serangan.
Benteng pertahanan akan diperkuatkan oleh Dion Cools dan Feroz Baharudin dan Syihan Hazmi akan kembali menjaga gawang dengan barisan terbaik ini dijangka mampu layak ke final Pestabola Merdeka buat kali kedua berturut-turut.
Malaysia akan berhadapan Filipina pada Rabu dan jika menang akan layak ke final pada Ahad untuk bertemu sama ada Lebanon ataupun Tajikistan yang akan bertemu pada sebelah petang untuk merebut trofi berprestij ini.