PENYERANG Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman, sedia berkongsi kelemahan skuad Kedah apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam aksi pusingan kedua Piala FA, malam ini.
Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia tidak membawa sebarang sentimen emosi menentang bekas pasukannya itu sebaliknya kekal fokus misi membantu TFC mara ke suku akhir.
Malah, Sherman berkata, dia mahu menggunakan pengalaman dua tahunnya bersama Kedah Darul Aman FC untuk ‘membocorkan’ rahsia skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak menjelang pertemuan malam ini.
“Walaupun saya pernah mengharungi dua tahun yang baik bersama mereka, tiada sebarang sentimen dalam bola sepak. Saya hanya akan berjuang untuk TFC dan beri 200 peratus komitmen.
“Ada (rahsia) yang akan digunakan untuk bertemu Kedah, saya akan bercakap dengan jurulatih (Mohd. Nafuzi Zain) mungkin ada helah yang saya boleh bantu.
“Kemenangan dalam aksi liga Ahad lalu memberi tonik terbaik kepada TFC walaupun tahap kecergasan pemain kurang memuaskan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Selain itu Sherman turut yakin dengan kemampuan TFC untuk melangkah ke suku akhir dengan kelebihan tempat sendiri bertemu Kedah mahu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Malah penyerang berusia 30 tahun itu mengakui kembali mendapat keyakinan setelah menamatkan kemarau jaringan ketika bertemu Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super yang lalu.