SKUAD kebangsaan Filipina berada dalam situasi yang cukup unik kerana masih ada pemain yang belum menyertai pasukan menjelang perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2024 pada Rabu.

Ketua jurulatih interim, Norman Fegidero mengakui pasukannya hanya akan memulakan latihan sebagai pasukan yang lengkap hari ini tetapi ianya bukan penghalang untuk The Azkals berikan saingan buat Malaysia.

“Kami dalam situasi yang unik kerana ada pemain yang hanya hadir hari ini kerana tugasan di kelab tetapi semua pemain dalam keadaan yang baik kerana sudah bermain lama bersama-sama dan mengenali satu sama lain dan harap dapat berikan permainan yang baik.

Senarai pemain skuad Filipina ke Pestabola Merdeka

“Walaupun kami baru akan mula berlatih hari ini namun kami sudah mempunyai kesebelasan utama kerana saya sudah kenal pemain dan mereka kerap bermain di kelab masing-masing dan pengalaman mereka akan berikan satu aksi yang baik.

“Tugas saya adalah untuk memastikan pasukan ini kompetitif meskipun kami mempunyai persiapan yang singkat dan adanya pemain kami yang bermain di Liga Malaysia beri sedikit kelebihan buat kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional.

Fegidero tetap meletakkan sasaran untuk muncul juara kejohanan ini namun dia mengakui Malaysia adalah pasukan yang baik dan mereka sudah memberikan perhatian kepada beberapa pemain Harimau Malaya.

“Sasaran kami mahu menang kejohanan ini dan ianya terpulang kepada pemain untuk berikan kemenangan kepada penyokong kami. Menerusi video, kami lihat Malaysia adalah pasukan yang baik dengan Safawi Rasid adalah antara pemain yang sangat bagus dan perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Dalam sidang media yang sama, pemain Filipina, Jarvey Gayoso menjelaskan mereka hanya bimbang kepada keadaan cuaca di Malaysia dan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Filipina akan bertemu Malaysia pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka dengan pemenang akan layak ke final bertemu sama ada Lebanon ataupun Tajikistan yang akan bertemu pada sebelah petang.