SELEPAS mencipta kejutan dengan mara ke kelompok lapan terbaik dunia dalam Kejohanan Footgolf Piala Dunia 2023 di Orlando, Amerika Syarikat, pasukan Footgolf Malaysia kini bersedia untuk membuka lembaran sejarah baharu di Asia.
Walaupun Footgolf masih kurang dikenali di arena sukan tempatan, semangat pasukan Malaysia tidak pernah pudar. Dengan tekad yang membara, mereka berazam untuk membuktikan bahawa kejayaan dalam sukan ini mampu mengangkat nama negara ke persada dunia.
Kejohanan Footgolf Piala Asia 2024 yang akan berlangsung di The Els Club Desaru dari 23 hingga 27 September, dengan penaja utama MicroLEAP, sebuah syarikat pelaburan patuh syariah yang komited menyokong perkembangan footgolf di Malaysia.
Ia bakal menjadi pentas pertembungan sengit antara enam negara Asia yang aktif dalam sukan yang penuh cabaran dan teknikal ini (Malaysia, Jepun, China, Chinese Taipei, Korea, dan Australia).
Sebagai tuan rumah, pasukan Footgolf Malaysia pastinya menyasarkan gelaran juara Asia dan ketua pasukan, Mohd Fahmi Hatta sendiri yakin dengan persiapan rapi yang telah dijalani selama beberapa bulan.
“Dengan persediaan yang teliti, kami semakin memahami kekuatan dan kelebihan setiap rakan sepasukan, yang mana sangat penting ketika menghadapi pasukan pilihan seperti Jepun dan China dalam acara berpasukan nanti,” ujarnya.
Selain itu, salah seorang pemain, Hanif Miswan yang turut membawa pengalaman berharga dari Piala Dunia di Orlando yakin pengalaman tersebut akan mematangkan dirinya dan rakan sepasukan.
Hanif, yang juga merupakan Pengulas Sukan, Pengacara TV, dan Penyampai Radio, sangat teruja untuk beradu kehebatan dalam footgolf dengan pasukan-pasukan lain dari rantau Asia.
“Skuad kali ini menarik kerana ia menggabungkan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa yang mempunyai ranking tinggi di peringkat Dunia dan Asia. Selain Jepun dan China, Australia (tuan rumah) Piala Asia terdahulu serta Korea Selatan dan Chinese Taipei, walaupun masih baru dalam sukan ini, tetap memberi saingan sengit.
“Peluang Malaysia adalah seimbang dan, Insha Allah, kita boleh mencipta kejutan dengan menjadi juara,” katanya.
Sebagai rekod, beberapa pemain Malaysia telah mencipta nama di peringkat Asia dan Dunia pada tahun 2024, dan kejohanan ini akan menjadi penanda aras penting bagi prestasi mereka.
Dengan lebih 40 negara di seluruh dunia yang kini aktif dalam sukan ini, tidak mustahil suatu hari nanti Footgolf akan disenaraikan sebagai acara dalam temasya Olimpik, dan Malaysia bakal muncul sebagai salah satu kuasa besar sukan ini di peringkat dunia.
Namun misi utama ketika ini adalah tawan Asia!