TIGA pemain iaitu Phil Foden, Cole Palmer dan Ollie Watkins terpaksa diketepikan bagi perlawanan England dalam Liga Negara-Negara, perlawanan pertama mereka di bawah kendalian pengurus sementara Lee Carsley, umum Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris semalam.

England berdepan Republik Ireland di Dublin Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Finland di Wembley tiga hari kemudian dalam Liga B.

Bintang Chelsea, Palmer, yang menjaringkan gol England pada final Euro 2024 ketika tewas kepada Sepanyol dan penyerang Aston Villa, Watkins kembali ke kelab mereka kerana kecederaan.

Penyerang Manchester City, Foden tidak menyertai skuad Carsley kerana tidak sihat.

Cole Palmer terpaksa digugurkan dari skuad England ekoran kecederaan. (Sumber Gambar: Reuters)

“Tiada tambahan pemain baharu dirancang ketika ini,” menurut kenyataan FA.

Perlawanan menentang Ireland adalah yang pertama buat England sejak tempoh lapan tahun Gareth Southgate sebagai pengurus berakhir.

Carsley ditugaskan sebagai pengurus sementara dan beliau memberikan Noni Madueke, Morgan Gibbs-White, Tino Livramento dan Angel Gomes panggilan pertama mereka.