BEKAS ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, menzahirkan ucapan tahniah yang penuh penghargaan kepada jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, selepas meraih pingat perak di Sukan Paralimpik pada awal pagi Rabu.
Bekas atlet negara itu mengakui kekuatan mental dan usaha keras yang tidak pernah berhenti oleh Ziyad dalam mengejar impiannya.
Menurut Nicol, pencapaian Ziyad ini adalah hasil daripada dedikasi dan tekad yang tinggi untuk membawa pulang kejayaan untuk Malaysia.
“Perjalanan anda untuk sampai ke sini adalah satu cabaran yang besar, tetapi anda tidak pernah berhenti berusaha keras untuk mencapai matlamat anda, baik untuk diri sendiri mahupun untuk Malaysia,” ujar Nicol menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Pada edisi sebelum ini Ziyad dihantui dengan ‘episod hitam’ yang berlaku semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila penyertaannya dibatalkan kerana tiba lewat di bilik panggilan.
Walaupun tidak berjaya memenangi pingat emas seperti mana yang dilakukan semasa Sukan Paralimpik Rio 2016, namun Nicol menganggap kejayaan memperolehi pingat perak pada tahun ini sudah cukup menginspirasikan kerana beliau tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus berjuang untuk mendapatkan peluang membawa pulang pingat untuk negara.
“Ini adalah kemenangan istimewa kerana anda tidak menyerah kalah dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk membawa pulang pingat ini.
“Tahniah atas pingat perak ini dan semua rakyat Malaysia berbangga dengan anda,” tambah Nicol.
Ucapan penuh semangat dan penghargaan daripada Nicol David ini pasti menjadi sumber inspirasi buat Ziyad dan juga semua atlet negara yang terus berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Pingat perak ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat Ziyad dan seluruh rakyat Malaysia, yang menyaksikan betapa gigihnya atlet para negara ini dalam mengharungi cabaran untuk terus berada di tahap tertinggi dalam sukan.
Kini Malaysia mengutip tiga pingat menerusi acara larian 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal), badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan juga acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).