DALAM suasana kempen boikot terhadap Pestabola Merdeka 2024, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuat seruan khas untuk rakyat Malaysia agar memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

Seruan ini disampaikan melalui laman rasmi Instagram Fifa, yang menggesa penyokong untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan dalam perlawanan menentang Filipina pada 4 September 2024.

Dengan skuad Harimau Malaya yang kini berada di tangga ke-134 dunia, perlawanan ini adalah satu ujian besar yang memerlukan sokongan rakyat Malaysia untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.

Dalam hantaran tersebut, Fifa menggariskan betapa pentingnya sokongan rakyat Malaysia untuk pasukan kebangsaan.

“Harimau Malaya memerlukan sokongan anda lagi dan lagi,” menurut kenyataan laman Fifa.

Hantaran Fifa menggesa peminat bola sepak Malaysia ramai-ramai hadir ke SNBJ sokong pasukan Harimau Malaya.

Kempen boikot terhadap Pestabola Merdeka telah menimbulkan keresahan mengenai jumlah kehadiran penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini kerana jumlah tiket yang terjual untuk perlawanan Harimau Malaya menentang Filipina dikatakan tidak mencapai 1,000 keping.

Baru-baru ini, Ultras Malaya telah mengumumkan bahawa mereka akan memboikot Pestabola Merdeka.

Ultras Malaya adalah kumpulan penyokong setia yang dikenali sebagai pemain ke-12 atau ekor Harimau Malaya bagi pasukan bola sepak kebangsaan.

Ultras Malaya kenang kejayaan Malaysia ke Piala Asia Qatar

Difahamkan boikot ini disebabkan oleh beberapa isu yang berkaitan perletakkan jawatan Kim Pan Gon dan situasi semasa bola sepak negara baik di peringkat kelab mahupun negara.

Dalam konteks ini, seruan Fifa mungkin bertujuan untuk memastikan bahawa sokongan terhadap pasukan kebangsaan tetap kukuh walaupun terdapat kontroversi.

Selain perlawanan Harimau Malaya menentang Filipina, aksi di sebelah petang menyaksikan juara bertahan Tajikistan akan bertemu dengan Lubnan.

Kemenangan dalam perlawanan ini adalah penting bukan sahaja untuk pasukan tetapi juga untuk memastikan bola sepak Malaysia terus mendapat perhatian dan sokongan di peringkat antarabangsa.