PASUKAN hoki UiTM kini bersiap sedia untuk memberikan cabaran sengit di Kejohanan Sukan Institusi Tinggi (SUKIPT) 2024, dengan persiapan mereka hampir mencapai tahap optimum.

Ketua pasukan hoki UiTM, Ahmad Suhaimi Kamaruddin, yang juga anggota pasukan hoki kebangsaan junior, menyatakan bahawa pasukan mereka sudah bersedia dengan strategi yang rapi untuk mengharungi SUKIPT kali ini.

“Walaupun persiapan kami baru mencapai 90 peratus, jurulatih mempunyai perancangan untuk memperkemaskan lagi corak permainan dalam baki beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

Para pemain juga sedang berusaha keras untuk menajamkan aspek-aspek tertentu yang masih memerlukan perhatian,” katanya kepada FLASH SUKAN.

UiTM bawa semangat beraksi di SUKMA 2024 untuk lakar prestasi gemilang di Sintok, Kedah.

Keputusan edisi SUKIPT sebelum ini, di mana UiTM hanya menduduki tempat keenam, telah menjadi pembakar semangat pasukan untuk memberikan yang terbaik pada edisi kali ini.

“Kami yakin skuad UiTM kali ini lebih kuat, dengan kehadiran pemain-pemain muda yang baru sahaja mencipta pencapaian terbaik di SUKMA 2024.

“SUKIPT ini juga merupakan pengalaman pertama saya dan saya sangat bersemangat untuk membantu pasukan UiTM meraih pingat,” tambah Suhaimi.

Berbicara mengenai sasaran pasukan, Suhaimi menegaskan bahawa mereka mempunyai KPI yang jelas untuk mencapai peringkat akhir sebelum memikirkan tentang pingat emas.

“Saya tidak mahu rakan sepasukan merasa tertekan, jadi kami fokus kepada setiap perlawanan secara berperingkat. Tiada yang mustahil selagi kami berusaha,” katanya.

Latihan intensif dijalankan secara kerap untuk membentuk disiplin dan stamina para pemain.

Dengan kehadiran beberapa pemain dari pasukan hoki kebangsaan junior, UiTM mendapat suntikan kekuatan tambahan.

“Mereka mempunyai pengalaman yang luas dan sangat berbakat. Saya pernah bermain bersama mereka dalam pasukan kebangsaan junior dan saya yakin kehadiran mereka akan meningkatkan mutu permainan kami,” kata Suhaimi.

Dengan semangat juang yang tinggi dan persiapan yang teliti, pasukan hoki UiTM berharap dapat membawa pulang kejayaan di SUKIPT 2024 dan menebus kekecewaan edisi lalu.

Pasukan Hoki UiTM yang berada di Kumpulan D akan memulakan langkah mereka menentang pasukan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 10 September ini.