LEGENDA bola sepak negara, Safee Sali, berkongsi kenangan bersejarah ketika Pestabola Merdeka 2007 yang menyaksikan kebangkitan luar biasa dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Menurut Safee, selepas kekalahan memalukan dalam Piala Asia, di mana Malaysia menjadi tuan rumah bersama, pihak FAM membuat keputusan berani dengan menghantar skuad B-23 ke kejohanan Merdeka.
Keputusan ini pada awalnya disambut dengan kritikan dan boikot oleh peminat bola sepak tempatan yang kecewa.
Namun, sepanjang perjalanan kejohanan, skuad muda ini mula menunjukkan prestasi cemerlang, memenangi setiap perlawanan sehingga berjaya melangkah ke peringkat akhir.
“Pada mulanya, kejohanan ini menerima serangan boikot dari semua peminat bola sepak tempatan, tetapi kemenangan demi kemenangan yang ditunjukkan oleh pasukan kami akhirnya membawa kami ke final,” ujar Safee.
Beliau menambah, aura peminat mula kembali dan pada ketika itu, stadium penuh sesak semasa perlawanan akhir, menandakan sokongan padu kepada pasukan negara.
Dalam perlawanan akhir yang penuh emosi, Malaysia berjaya menewaskan lawan dan menjadi juara Pestabola Merdeka 2007.
Safee juga mengakui bahawa emosi peminat bola sepak memang ada turun naiknya. Ketika menghadapi kekecewaan, ada yang memilih untuk memboikot, tetapi apabila kemenangan diraih, segalanya seolah-olah dilupakan.
Bagi Safee yang pernah beraksi untuk Selangor dan Johor Darul Ta’zim, tugas utama para pemain adalah untuk terus memberikan yang terbaik, mewakili negara dengan penuh tanggungjawab, dan memastikan kemenangan demi mengharumkan nama Malaysia.
Malaysia akan bertemu Filipina dalam perlawanan pertama malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 9 malam.