SIKAP bijak membahagikan masa di padang dan kuliah membuahkan hasil buat pemain hoki, Nurul Hannah Ismail apabila dirinya terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen ke-99 Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Nurul Hannah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda UiTM dengan purata gred kumulatif (CGPA) 3.84 juga terlibat dengan pelbagai kejohanan dengan mewakili UiTM dalam kejohanan antaranya MASUM dan SUKIPT.
Bagi atlet berusia 25 tahun itu, penglibatannya yang pelbagai membolehkan dia menjadi seorang eksekutif, pada masa yang sama seorang pemain hoki buat syarikat perbankan ternama, Maybank setelah menamatkan latihan industri.
Dengan menyifatkan dirinya sebagai seorang yang tegas dari segi pembahagian masa dalam menguruskan jadual latihan dan kelas yang agak padat, ia jelas membantu dirinya bergelar pelajar terbaik meskipun berdepan dengan pelbagai tanggapan masyarakat sekeliling.
“Kebanyakan orang sekeliling saya sering mempersoalkan tentang jadual saya yang padat. Mereka berkata bahawa atlet banyak main, tidak belajar. Mendengarnya membuatkan keinginan untuk menjadikan diri saya sebagai contoh bahawa ianya tidak benar semakin membuak-buak,” ujar pemain hoki Maybank tersebut.
Nurul Hannah juga sempat menitipkan nasihat buat semua mahasiswa untuk terus aktif dalam sukan hingga ke peringkat tertinggi tetapi dalam masa sama, cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah tidak harus dilupakan.
“Penglibatan dalam sukan seharusnya menjadikan kita lebih cerdas dan mampu mengikuti kuliah dengan lebih baik tetapi segala-galanya perlu seimbang supaya penumpuan dalam bilik kuliah tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu Nurul Hannah juga berharap agar atlet Malaysia dapat meningkatkan tahap kelayakan akademik walaupun sedar bahawa tanggungjawab sebagai seorang atlet juga memerlukan pengorbanan tersendiri apatah lagi ketika beraksi di peringkat tinggi.