KECEDERAAN yang membelenggu Soh Wooi Yik ketika ini, langsung tidak menerbitkan kemungkinan untuk Aaron Chia dipasangkan bersama gandingan lain.

Jurulatih perseorangan lelaki, Tan Bin Shen segera menafikan formula mewujudkan gandingan ‘scratch’ dalam usaha memastikan Aaron berada pada tahap prestasi tertinggi, sepanjang ketiadaan Wooi Yik.

“Tidak ada scratch… Wooi Yik masih cedera, belum recover dan kita tetap akan tunggu Wooi Yik pulih untuk menghantar Aaron ke mana-mana kejohanan,” kata Bin Shen, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Soh Wooi Yik mengalami kecederaan kaki yang mungkin memakan masa agak lama untuk pulih sepenuhnya.

Malah jurulatih itu turut menafikan bahawa aspek mental Aaron akan terjejas berikutan ketiadaan pasangannya, baik ketika menjalani latihan mahupun mahu menyertai kejohanan.

“Kesan tu tak banyak sangat kerana mereka (semua pemain) sudah biasa bertukar-tukar pasangan ketika latihan, tak jejaskan langsung,” ujarnya.

Sebaliknya, Bin Shen berkata, dalam menunggu proses pemulihan Wooi Yik, beliau mahu menumpukan perhatian kepada pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Yap Roy King-Muhammad Arif Junaidi.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu lebih konsisten untuk mengambil alih kedudukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang meninggalkan BAM.

“Kita ada rancangan untuk menaikkan gandingan muda ini bagi mencapai standard Top 8 dunia.

“Malah, mereka juga akan menyertai beberapa kejohanan terdekat seperti Terbuka Hong Kong (10-15 September) dan terbuka China (17-22 September) serta beberapa kejohanan di Eropah,” tambah Bin Shen.

Untuk rekod, selain Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking ketiga dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih memiliki pemain dalam kedudukan yang baik dalam ranking.

Wei Chong-Kai Wun kini di ranking ke-17 dunia, Hon Jian-Haikal (19) manakala Roy King-Arif (42).