KETUA jurulatih sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menarik nafas lega apabila Malaysia berjaya mencatat kemenangan dengan keputusan 2-1 menentang Filipina dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024.
Pengendali dari Sepanyol itu memuji sikap yang ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang perlawanan itu.
“Aksi ini (perlawanan malam tadi) amat susah. Kita layak mendapat keputusan ini, tetapi saya fikir mereka (Filipina) merupakan pasukan yang baik, sangat fizikal dan sangat berkualiti.
“Ia menyukarkan kami mendapatkan keputusan tetapi kita perlu mengambil keputusan positif daripada aksi ini.
“Saya tidak setuju pemain gugup hari ini. Kita dibolosi awal dan ia membuatkan kami bangkit. Pemain cuba mencari jalan terbaik untuk menyerang menggunakan pendekatan berbeza.
“Pasukan beraksi baik selepas menyamakan kedudukan dan mereka mengawal permainan dengan baik selain berjaya melaksanakan apa yang dirancang seperti dalam latihan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
“Kami sudah melangkah ke final dan kami akan meraikan kejayaan itu malam ini sebelum kembali fokus untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi.
Harimau Malaya bakal bertemu pasukan Lubnan untuk aksi akhir Pestabola Merdeka 2024 pada 8 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.