PASUKAN sofbol Universiti Malaya (UM) sedang berada dalam fasa persediaan akhir untuk menghadapi  SUKIPT edisi ke-6 yang bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

Persiapan ini bermula sejak 22 Julai lalu dengan latihan pusat yang melibatkan pelbagai aspek untuk memastikan pasukan berada dalam keadaan optimum menjelang kejohanan.

Latihan yang dijalankan merangkumi kemahiran asas seperti pukulan (batting), lontaran (pitching), dan tangkapan (fielding).

Pasukan juga memberi penekanan kepada latihan taktikal serta simulasi situasi permainan untuk memantapkan strategi mereka.

Di samping itu, kecergasan dan ketahanan fizikal setiap pemain terus diberi perhatian.

Dengar arahan… Pemain Sofbol UM fokus segala amanat dititipkan ketua pasukan semasa sesi latihan.

Salah satu inisiatif baru dalam latihan adalah penerapan teknik mental training, termasuk teknik pernafasan 627, latihan imaginasi, dan penyataan prestasi.

Formasi pertahanan pasukan juga telah disesuaikan berdasarkan statistik pukulan lawan untuk meningkatkan keberkesanan pertahanan.

Walau bagaimanapun, pasukan menghadapi beberapa cabaran, antaranya adalah kekurangan peralatan seperti bat, bola, dan sarung tangan (glove). Komitmen pemain yang terlibat dalam latihan praktikal dan juga pekerjaan menjadi cabaran tambahan bagi pasukan.

Aina Aziz percaya kemampuan pasukan Sofbol UM cipta kejutan edisi SUKIPT 2024.

Pengurus pasukan, Aina Aziz, menyatakan keyakinan yang tinggi terhadap kekuatan pasukan kali ini berbanding edisi sebelum ini.

“Saya lebih yakin dengan pasukan yang sekarang kerana tahap kemahiran setiap pemain tinggi dan jurang perbezaan tidak ketara.

“Setakat ini, walaupun tidak mengeluarkan pemain utama, pasukan dapat memberi tentangan sengit kepada lawan-lawan.

“Saya percaya dengan kehadiran pemain utama dalam perlawanan sebenar, peluang untuk mencapai kejayaan lebih cerah,” kata Aina kepada FLASH SUKAN.

Latihan yang dijalankan merangkumi kemahiran asas seperti pukulan (batting), lontaran (pitching), dan tangkapan (fielding).

Pihak universiti juga telah memberikan sokongan yang padu dalam persiapan pasukan untuk kejohanan kali ini.

Aktiviti-aktiviti seperti  ujian yoyo, team building, dan ceramah jemputan telah diatur untuk mempersiapkan pasukan dengan penyediaan penginapan, makan, dan minum juga telah diuruskan dengan baik.

Untuk edisi kali ini, Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) mensasarkan 10 pingat emas untuk semua acara dan pasukan sofbol ditetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas.

“Target kami adalah untuk top 3 kerana melihatkan pasukan UPSI dan Politeknik Malaysia sebagai pencabar utama dengan kehadiran pemain kebangsaan mereka,” jelas Aina lagi.

Dengan persiapan yang teliti dan semangat yang tinggi, pasukan sofbol Universiti Malaya bersedia untuk menghadapi SUKIPT 2024 dan berharap untuk mencapai kejayaan yang gemilang.