PEMINAT seni mempertahankan diri di Malaysia pastinya teruja menantikan pertembungan hebat antara Johan Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Jojo, dengan lawannya Josue Cruz dalam kategori Muay Thai Flyweight pada acara ONE 168.
Jojo dengan penuh semangat menyatakan hasratnya untuk membuktikan kemampuan sebenar dalam pertarungan ini, sambil menangkis sebarang anggapan bahawa dirinya hanya sekadar hype.
“Jojo nak buktikan dalam perlawanan ini Jojo bukan hype. Ini memang betul-betul pertarungan dan senang cerita Jojo akan buktikan di badan Josue Cruz,” katanya penuh yakin memetik laporan TVS TV.
Tambahan pula, ibu kepada Johan, Jennana Johnson, turut berkongsi kebanggaannya di laman Facebook apabila mendedahkan bahawa Jojo sendiri telah mereka bentuk seluar pendek yang akan dipakai ketika bertarung.
“Dia menghasilkan reka bentuk ini sendiri. Saya sangat bangga dia akan bertarung dengan seluar pendek ini,” kata Jennana.
Jojo telah berlatih dengan penuh tekun dan dedikasi menjelang pertarungan ini dan pastinya akan beraksi habis-habisan demi membawa pulang kemenangan untuk Malaysia.
Pertarungan antara Johan Ghazali dan Josue Cruz akan berlangsung di Ball Arena, Denver, esok 7 September, jam 8 pagi waktu Malaysia.
Ayuh, berikan sokongan penuh kepada Jojo dalam usahanya membawa pulang kejuaraan ke tanah air.