HARI ini detik bersejarah tercipta buat sosok bernama Hamidin Mohd Amin apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terima darjat kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Ke-17 membawa gelaran Tan Sri.
Hamidin antara penerima yang mendapat gelaran Tan Sri pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.
Menyingkap kembali perjalanan Hamidin dalam kancah bola sepak negara, beliau melakarkan sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa untuk menerajui pucuk kepimpinan tertinggi badan induk persatuan itu.
Sepanjang menjadi Presiden FAM selepas dilantik pada Julai 2018, beliau telah memberikan komitmen serta baktinya kepada bola sepak khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang jelas menjadi detik paling sukar tetapi dapat menempuhi situasi itu dengan baik dan positif.
Selain daripada itu, Hamidin juga menjadi watak utama untuk mendapatkan sentuhan mantan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang akhirnya menjadi misi serampang dua mata iaitu dapat melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2024 dan peningkatan ranking Harimau Malaya ke tangga yang lebih baik sebelum ini.
Lebih manis, Hamidin yang dinobatkan sebagai pemenang Ikon Sukan Kepimpinan Anugerah Ikon Sukan (AIS) anjuran Harian Metro sekali lagi menjadi arkitek utama dalam kejayaan pasukan Harimau Malaya yang telah menamatkan penantian hampir 60 tahun dengan melayakkan diri ke pentas Piala Asia secara merit buat pertama kali.
Pun begitu, suka atau tidak bahawa harus akui bahawa bukan semua keputusan yang dilakukan beliau dapat menyenangkan hati semua pihak tetapi Hamidin terpaksa berbuat keputusan berdasaskan kedudukan semasa serta terbaik untuk bola sepak kebangsaan mahupun FAM.
Ini kerana Hamidin sentiasa sedar dan peka di mana dengan kedudukan jawatannya kini adalah paling mudah mengundang kritikan oleh pelbagai pihak kerana bola sepak sentiasa ada cerita tersendiri.
Apapun penulis berharap gelaran Tan Sri ini dapat kembali menyuntik motivasi Hamidin untuk terus melakarkan kejayaan lagi bersama FAM dan Harimau Malaya.
Ini kerana sebagai pemimpin, beliau sentiasa akan berdepan proses pembelajaran yang lebih proaktif dalam memastikan agenda bola sepak negara berada di dalam landasan yang tepat.
Sama-sama kita mendoakan agar Malaysia boleh melangkah jauh di pentas antarabangsa di mana sentuhan Hamidin akan terus membawa Harimau Malaya bermain di kejohanan elit akan datang.
Akhir kata daripada penulis, tahniah Tan Sri Hamidin!