KAPTEN pasukan Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl, telah mengesahkan bahawa dirinya mempunyai darah campuran Malaysia, sekali gus membuka peluang untuk bermain bersama skuad kebangsaan Malaysia.

Proses naturalisasi Deijl untuk mewakili pasukan negara dilaporkan berjalan dengan lancar, dan kemungkinan besar beliau akan dipanggil untuk menyertai Harimau Malaya dalam perlawanan FIFA Matchday pada bulan Oktober, berdepan New Zealand di Auckland.

Pengumuman ini dibuat oleh Deijl sendiri melalui satu sesi podcast yang dikongsikan di Instagram @sameneustijgerbalsem.

Dalam podcast tersebut, Deijl menceritakan bagaimana beliau memulakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai status warisan dari Malaysia.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya sebahagian daripada Malaysia, dan mereka bertanya adakah saya akan mempertimbangkan untuk bermain untuk pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia? Saya menjawab, jika itu boleh… sudah tentu,” kata Deijl.

Beliau juga berkongsi mengenai proses mendapatkan dokumen kelahiran ibu bapanya yang tinggal di Belanda serta datuknya dari Jerman.

“Pada mulanya saya fikir perkara ini tidak akan berjaya, dan menjadi sebahagian daripada Malaysia… kedengaran mustahil, tetapi sekarang saya semakin yakin dengan perkara ini,” tambahnya.

Deijl menyatakan bahawa pihak FAM telah memberikan jaminan bahawa mereka akan menguruskan segala proses dokumentasi yang diperlukan.

“Orang-orang persatuan itu memberitahu saya bahawa mereka akan selesaikan semuanya dan berkata jangan risau.”

Terdahulu perkara ini disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, dalam satu sidang media di ibu negara pada 29 Ogos lepas.

Jika proses naturalisasi ini berjaya diselesaikan, kehadiran Mats Deijl pasti akan memberi tambahan kekuatan kepada skuad Harimau Malaya, terutama dalam persediaan menghadapi cabaran antarabangsa akan datang.

Para penyokong bola sepak negara pastinya menanti dengan penuh debaran perkembangan lanjut mengenai potensi pemain warisan Malaysia ini.