RAMALAN cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan bahawa dua perlawanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka berdepan dengan keadaan cuaca yang berbeza.

Perlawanan antara Filipina dan Tajikistan pada jam 4.30 petang dijangka akan berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, yang mungkin menjadi cabaran besar buat kedua-dua pasukan.

Penyokong yang hadir dinasihatkan supaya bersiap sedia dengan payung dan baju hujan serta mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

Elakkan berteduh di bawah pokok atau kawasan terbuka yang terdedah kepada kilat.

Bagi perlawanan utama antara Malaysia dan Lubnan pada jam 9 malam pula, cuaca dijangka kondusif tanpa hujan, memberikan suasana yang lebih selesa untuk Harimau Malaya meneruskan perjuangan mereka di hadapan penyokong setia.

 

Dengan tiada gangguan cuaca pada perlawanan malam nanti, diharap kehadiran penyokong yang ramai di Stadium Nasional Bukit Jalil akan memberikan suntikan semangat kepada skuad Harimau Malaya untuk melakar kemenangan.

Para penyokong di seluruh negara diseru untuk hadir membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya.

Kehadiran pemain ke-12 amat penting untuk meningkatkan semangat pasukan negara, dan pastikan semangat perjuangan mereka tidak terkesan dengan boikot yang sedang berlangsung.

Sokongan penyokong penting buat pasukan negara! Mari bersama-sama kita berikan sorakan padu untuk memastikan kejayaan Malaysia di pentas Pestabola Merdeka 2024.

Kali terakhir Malaysia menjulang Pesta Bola Merdeka pada tahun 2013 selepas menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi akhir di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Wan Zack Haikal dan Junior Eldstal.