JAMAL Musiala menjaringkan satu gol dan membantu tiga lagi dalam kemenangan 5-0 Jerman ke atas Hungary pada aksi Liga Negara-Negara UEFA.
Jerman berwajah baharu, yang mensasarkan gelaran Piala Dunia 2026 selepas tersekat di suku akhir Euro di laman sendiri pada Julai, tidak lagi dibarisi pemenang Piala Dunia 2014 dalam skuadnya selepas Thomas Mueller, Toni Kroos dan Manuel Neuer bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Bekas kapten, Ilkay Gundogan juga mengakhiri karier bersama pasukan kebangsaan Jerman.
Jerman mendahului aksi Kumpulan A3 menerusi jaringan Niclas Fullkrug hasil umpanan Musiala pada minit ke-27.
Dengan Hungary menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, Musiala memastikan Jerman bertambah selesa apabila menambah jaringan pada minit ke-58 hasil serangan balas pantas daripada sepakan sudut pelawat.
Musiala yang dinobat pemain terbaik perlawanan, kemudian mengumpan bola kepada Aleksandar Pavlovic untuk gol keempat pada minit ke-77.
“Seronok permainan hari ini. Jamal berada pada prestasi terbaik. Kehadirannya dalam skuad amat hebat.
“Kami menjadikan keadaan sukar buat lawan. Walaupun tanpa bola, kami tetap menguasai permainan,” kata Fullkrug.
Havertz yang beberapa kali terlepas peluang menjaringkan gol, akhirnya meledak gol kelima Jerman pada minit ke-81 menerusi sepakan penalti.