PASUKAN Lubnan menjangkakan pasukan Malaysia yang lebih kuat dalam perlawanan akhir Pestaba Merdeka hari ini.
Jurulatihnya, Miodrag Radulovic berkata, terdapat perbezaan besar dalam pasukan Harimau Malaya yang kini dikuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi.
Malaysia mengalami kekalahan dengan keputusan 1-2 kepada Lubnan dalam kelayakan Piala Asia pada Jun 2017 dan di Beirut pada Mac 2018.
Radulovic, yang berasal dari Montenegro, berkata zaman telah berubah kerana Malaysia adalah Harimau Malaya baharu, disokong oleh beberapa pemain warisan campuran yang berkualiti dan pemain naturalisasi.
“Saya telah menganalisis pasukan Malaysia. Mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang kuat. Mereka mempunyai kualiti individu, yang pada saya mengagumkan. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa dia bercakap dengan beberapa pemain Montenegro yang bermain dalam Liga Super Malaysia sebelum ke Kuala Lumpur untuk kejohanan Pestabola Merdeka.
“Sebelum datang ke sini, saya sudah bercakap dengan Rudo (Adrian Rudovic), yang bermain untuk Kuala Lumpur dan juga Argzim (Redzovic), yang bermain untuk Terengganu. Mereka telah memberikan saya banyak petunjuk, yang akan membantu saya,” kata Radulovic.
“Kami bersedia dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perlawanan hari ini.”
Lubnan layak ke final selepas menewaskan Tajikistan 1-0 pada separuh akhir manakala Malaysia menewaskan Filipina 2-1.
“Keputusan sebelum ini terhadap Malaysia tidak boleh digunakan sebagai ukuran. Kini ia berbeza. Dalam setiap bahagian, mereka mempunyai kualiti. Mereka (Malaysia) kelihatan baik menentang Filipina dan kami menjangkakan permainan yang lebih baik daripada mereka,” katanya.
Lubnan secara fizikalnya sangat mengagumkan dan mempunyai beberapa pemain teknikal yang cemerlang seperti pemain tengah Rabih Ataya, yang pernah bermain untuk UiTM dan Kedah pada masa lalu dan Hassan Matouk, seorang pemain veteran tetapi masih mempunyai kualiti di bahagian serangan.
Malaysia perlu berada pada tahap terbaik mereka jika mereka mahu merangkul kejuaraan tetapi Radulovic pastinya mempunyai beberapa helah untuk menumbangkan Harimau Malaya.