PASUKAN Malaysia bergelar juara Pestabola Merdeka 2024 selepas menumpaskan pasukan Lubnan dengan keputusan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Harimau Malaya yang menduduki ranking Fifa ke-134 berjaya mencipta kejutan apabila dapat mengalahkan Lubnan yang berada di kedudukan ke-116.

Pertemuan antara Malaysia dan Lubnan sebelum ini menyaksikan Lubnan berjaya merekodkan kemenangan keatas Harimau Malaya sebanyak dua kali, dengan kali terakhir pertemuan antara dua pasukan ini ialah pada 2018 dengan keputusan 2-1.

Romel Morales menjaringkan gol kemenangan buat Harimau Malaya pada minit ke-33

Malaysia lebih banyak mengaturkan serangan dalam tempoh 10 minit yang awal, dengan Lubnan masih mencari rentak permainan pada ketika itu.

Satu-satunya gol untuk perlawanan malam ini dijaringkan oleh Romel Morales pada minit ke-33 selepas beliau menyepak bola ke arah kanan gawang gol Lubnan.

Tersentak dengan jaringan itu, Lubnan cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan dalam baki minit permainan pada babak pertama.

Antara penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024

Perubahan taktikal yang dilakukan oleh Pau Marti pada separuh masa kedua dengan membawa masuk Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid telah merubah corak serangan pasukan Malaysia.

Kedua-dua pemain itu mempunyai beberapa peluang emas untuk menambah kelebihan Malaysia namun percubaan mereka gagal untuk menemui apa-apa jaringan gol.

Perlawanan menjadi sedikit panas apabila Khalil Khamis dilayangkan kad merah pada minit ke-79 selepas menerjah kaki Akhyar Rashid dari belakang. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel permainan ditiupkan oleh Thoriq Munir Alkatir.

Dengan kemenangan ini, Malaysia merangkul kejuaraan ke-13 kejohanan Pestabola Merdeka. Kali terkahir Malaysia memenangi kejohanan ini ialah pada 2013, dimana ketika itu Malaysia B-23 berjaya menewaskan Myanmar B-23.