PELUMBA muda yang semakin meningkat naik, Hakim Danish Ramli, meneruskan rentak cemerlangnya dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 dengan keputusan yang memberangsangkan dalam dua perlumbaan terbaru.

Dalam Race 1 di Misano World Circuit,  Hakim berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga, walaupun usahanya untuk merebut kedudukan pertama tidak kesampaian.

Hakim menyatakan kepuasan dengan hasilnya, sambil mengakui telah memberikan usaha terbaiknya sepanjang perlumbaan.

“Alhamdulillah, perlumbaan 1 merupakan keputusan yang baik untuk saya walaupun saya telah cuba untuk fight untuk P1 tetapi tidak berjaya,” ujar Hakim.

Bagi Race 2, perlumbaan berlangsung dengan lebih sengit apabila Hakim menerima tentangan hebat daripada pelumba lain.

Walaupun begitu, Hakim tetap berjaya mengekalkan prestasi kompetitif dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Menyimpulkan pengalaman tersebut, Hakim akur dengan keputusan itu dan menganggapnya sebagai motivasi untuk terus berusaha lebih baik pada masa hadapan.

“Perlumbaan sangat sengit dan saya menerima tentangan hebat dari pelumba lain. Saya telah berusaha sehabis baik dan saya akur dengan keputusan,” katanya lagi.

Hakim turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan berterusan kepadanya sepanjang musim ini, termasuk para penajanya seperti Sepang Circuit, ZK Racing, RCB Global, Terengganu Incorporated, serta ahli keluarganya.

Beliau juga memberikan penghargaan khas kepada Aiey_69 dan Zulfahmi Khairuddin yang selalu memberi dorongan dan nasihat kepadanya.

Hakim tidak lupa untuk berterima kasih kepada semua kakitangan Red Bull Rookies Cup yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaannya musim ini.

“Terima kasih kepada sponsor saya iaitu @sepangcircuit, @zkracing_, @rcb.global, @terengganu.incorporated, family saya, @aiey_69 dan @zulfahmikhairuddin kerana selalu support saya. Tidak lupa juga kepada @redbullrookiescup staff. Terima kasih untuk 2024!!” tambahnya.

 

FOTO : HAKIM DANISH