SELEPAS kemenangan penting Malaysia ke atas Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024, bekas penyerang bola sepak negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, turut memberikan pandangannya mengenai persembahan skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, kehadiran jurulatih baru dan juga corak permainan yang baru diterapkan oleh Pau Marti Vicente memuaskan hati terutamanya dengan prestasi pasukan terutama sekali dalam separuh masa yang pertama. 

“Pemain-pemain telah beraksi dengan cukup memberangsangkan yang dapat kita saksikan dan satu yang positif bagi saya kita mampu menang ke atas pasukan yang lebih baik.

“Saya berpuas hati terutama sekali dalam separuh masa yang pertama, pemain yang diturunkan memang pemain yang patut ada dalam kesebelasan utama pasukan,

“Cuma mungkin kita boleh meletakkan Arif Aiman di kesebelasan utama jadi pemain-pemain yang bermain semalam dan juga ketika menentang Filipina rata-rata bermain beraksi dengan baik,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 4 people, people playing American football, people playing football and text

Kita kembali juara Pestabola Merdeka sejak kali terakhir memenanginya pada 2013.


Bagi Akmal yang juga pengendali Penang FC musim ini, beliau merasakan pemain-pemain yang diturunkan itu sudah biasa beraksi di Liga Super dan boleh mempamerkan aksi yang terbaik.

“Percaturan yang bagus kerana pemain-pemain yang beraksi semuanya permain yang sudah beraksi bersama kelab masing-masing dalam Liga Super dan boleh mempamerkan aksi yang cukup baik. 

“Jurulatih juga bijak menggunakan pemain yang berkualiti dan pemain yang mempunyai minit permainan dalam saingan liga,” katanya.

Dengan ketiadaan pemain sayap, Faisal Halim dalam skuad kebangsaan, beliau mengakui bahawa ia mungkin sedikit terasa lebih-lebih lagi di bahagian kiri pasukan.

“Bila ada Faisal di sebelah kiri, kita boleh menggunakan kelajuan serta kelincahan beliau tetapi Pau Marti berjaya mengimbangi ketiadaan Faisal halim dengan menggunakan Syafiq Ahmad. 

“Bukan sahaja Syafiq malah Pau Marti juga banyak menggunakan pertahanan kiri, Corbin Ong untuk membantu serangan dibahagian kiri dan ini saya rasa sedikit dirasai secara keseluruhan namun Paulo mampu untuk mengimbaingi peranan itu,” ujarnya lagi.

Akmal juga mengakui lima pemain terbaik sepanjang dua perlawanan, termasuk kapten Dion Cools, Syamer Kutty, Noah Laine, Syafiq Ahmad, dan Arif Aiman.

Menurut beliau, Arif telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dan berada di tahap lebih baik berbanding pemain lain di peringkat Asia.

May be an image of 2 people, people playing American football, people playing football and text

Dion Cools melaksanakan tanggungjawab dengan baik sepanjang perlawanan.

“Sudah pasti kapten kita, Dion Cools, kemudian Syamer Kutty yang dua perlawanan telah memberikan aksi yang menakjubkan dan Noah laine serta Syafiq Ahmad biarpun hanya bermain 45 minit sahaja tetapi beliau beraksi dengan begitu baik. 

“Pastinya Arif Aiman juga seperti yang kita sudah tahu kemampuan beliau yang mampu menghadapi pemain-pemain yang berpengalaman dan saya rasa beliau sudah ada di tahap yang jauh lebih baik daripada pemain-pemain di peringkat Asia,” tegasnya.

Namun, bekas pemain Kedah dan Selangor itu menekankan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutamanya dari aspek pertahanan dan variasi serangan.

“Kita perlu lebih memperkemaskan dari segi pertahanan apabila kita bertahan dan juga apabila kita menyerang perlu lebih banyak variasi-variasi yang perlu semasa menyerang. 

“Jadi untuk bermain di peringkat yang tinggi seperti peringkat antarabangsa, kita perlu mengemaskan lagi bahagian-bahagian ini,” katanya

May be an image of football, crowd and text

Bola sepak Malaysia masih ada penyokong setia.

Walaupun kemenangan ini membuktikan kekuatan pasukan, Akmal percaya masih ada ruang untuk diperbaiki dan berharap bola sepak Malaysia akan lebih maju kehadapan. 

Beliau juga berharap pasukan ini dikekalkan untuk kempen-kempen seterusnya sambil Pau Marti akan terus menilai prestasi pemain dari liga tempatan.

Akmal yakin dengan kerja keras dan strategi yang betul, bola sepak Malaysia boleh maju ke hadapan.