PEMAIN Norway dan Arsenal, Martin Odegaard mengalami apa yang dilihat sebagai kecederaan buku lali yang teruk ketika membantu Norway mengatasi Austria 2-1 dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi, dengan gol menerusi Felix Horn Myhre dan gol kemenangan lewat Erling Haaland.

Kapten Arsenal itu meninggalkan padang selepas menerima rawatan beberapa minit pada babak kedua susulan pertembungan dengan pemain Austria, Christoph Baumgartner dan bos Norway, Stale Solbakken menyatakan ia kelihatan teruk.

“Kecederaan Martin Odegaard kelihatan teruk di bilik persalinan dan ketika dia duduk bersama pakar fisioterapi tetapi dia tidak berpeluang untuk meneruskannya kerana kami sedar dia terseliuh buku lalinya,” kata jurulatih itu kepada TV2 Norway.

“Ya, ia terseliuh dan bagi anda yang bermain bola sepak tahu, dengan tuah ia boleh OK jika ligamen tidak koyak.”

Martin Odegaard terpaksa dikeluarkan pada minit ke-67. (Sumber Gambar: UEFA)

Doktor pasukan Norway, Ola Sand menambah pemain berusia 25 tahun itu baik-baik sahaja, tetapi ujian MRI mungkin akan dilakukan hari ini.

“Martin sudah cukup baik sekarang. Dia mengalami kecederaan buku lali kecil. Kami akan melihat sepanjang petang dan esok apa yang berlaku seterusnya dan apa yang akan kami lakukan mengenainya.

“Buku lali terseliuh sukar ditangani dengan segera, jadi kami perlu melihat bagaimana keadaannya. Kami akan memeriksanya apabila kami kembali ke hotel.

“Mungkin kami menggunakan ultrasound untuk melihatnya. Jika kami tidak pasti, MRI akan dijalankan esok,” kata Sand.