PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyatakan kesediaan pihaknya dan kerajaan Malaysia untuk terus membantu pasukan Palestin menggunakan Malaysia sebagai ‘home ground‘ bagi perlawanan antarabangsa mereka.

“Jika presiden mereka, Jeneral Jibril Rajoub, mengatakan jika untuk perlawanan seterusnya mereka ingin datang, FAM dan kerajaan Malaysia sentiasa bersedia anytime untuk pasukan Palestin bermain sebagai home ground di Malaysia,” kata Hamidin kepada media pada waktu separuh masa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 antara Palestin dan Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras,

Tan Sri Hamidin menegaskan bahawa FAM sentiasa terbuka untuk kedatangan  Palestin FA.

Beliau menambah, FAM akan terus menjalin kerjasama erat dengan Persatuan Bola Sepak Palestin, termasuk merancang lebih banyak perlawanan persahabatan pada masa akan datang.

“Kita akan selalu mengadakan perlawanan persahabatan seperti tahun lepas kita menjemput mereka ke Pestabola Merdeka, tetapi kerana konflik yang berlaku di negara mereka, mereka tidak dapat hadir. Insha Allah kita akan sentiasa terus bekerjasama dengan FA Palestin,” ujarnya lagi.

Malaysia, melalui FAM, dilihat sebagai negara yang sentiasa menyokong Palestin, bukan hanya dari sudut politik tetapi juga dalam arena sukan, menunjukkan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin yang bergelut dengan konflik di tanah air mereka.