TONGGAK import Negeri Sembilan FC, Mika Junco Martinez enggan kecundang lagi untuk memastikan pasukannya meraih mata berharga berdepan Perak FC dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.
Hanya memenangi satu sahaja perlawanan daripada lapan aksi Liga Super, sudah tentu skuad kendalian K.Nantha Kumar ini tidak mahu lagi tercicir mata bagi memperbaiki kedudukan mereka yang kini di tangga kedua tercorot liga.
Selepas seri dengan Kedah Darul Aman FC pada bulan lalu, Martinez percaya dia dan rakan sepasukan bertambah baik daripada segi persediaan dan menggunakan tempoh masa berehat sebelum ini untuk terus perbaiki kelemahan pasukan.
Buktinya, mereka menang 2-0 ke atas PDRM FC pada aksi persahabatan minggu lalu dan salah satu jaringan itu berjaya dilakukan oleh pemain kelahiran Sepanyol itu.
“Aksi persahabatan tempoh hari adalah perlawanan yang baik untuk kami selepas menang dan membuktikan pasukan ini semakin positif untuk kembali bangkit.
“Kita akan lihat balik dekat mana kekuatan yang ada pada Perak untuk cuba mengatasi mereka dan saya percaya dengan perancangan daripada jurulatih.
“Secara jujurnya, permulaan musim ini agak perlahan untuk kami dan kekalahan demi kekalahan memang tidak mudah untuk pasukan ini.
“Tetapi saya yakin, untuk aksi-aksi selepas ini, Negeri Sembilan akan bertambah cemerlang dan kami ingin terus meraih mata pada perlawanan akan datang,” katanya.
Martinez pada awalnya mengaku bukan mudah untuk dia mendapatkan prestasi terbaik untuk dirinya tetapi kini semakin yakin untuk terus membantu pasukan menerusi jaringan atau hantaran yang lebih tepat.
Setakat ini, pemain berusia 31 tahun ini berjaya menjaringkan satu gol bersama pasukan iaitu ketika aksi menentang Terengganu FC pada 30 Julai lalu.
“Sudah pasti saya menjangkakan prestasi yang lebih baik daripada diri sendiri dan masih belum puas dengan apa yang telah diraih setakat ini.
“Kita juga banyak menentang pasukan yang hebat pada awal musim dan tewas hampir setiap perlawanan, tetapi ia banyak mengajar kami.
“Saya tetap berusaha keras dan ingin menjaringkan lebih banyak gol atau melakukan hantaran yang lebih baik untuk terus bantu pasukan ini,” tambahnya.