SKUAD B-19 Tahun Kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Singapura pada aksi kedua Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun yang berlangsung di Stadion Madya, Senayan petang tadi.

Walaupun menguasai permainan terutama pada babak kedua, anak-anak buah Hassan Sazali Waras itu bagaimanapun terpaksa akur dengan kekentalan barisan pertahanan  Singapura.

Penjaga Gol Singapura juga cemerlang menafikan percubaan Haikal Sahar dan Haqimi Azim Rosli untuk memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Kemasukan pemain kacukan, Abdul Rahman Daud Azizol dan Omar Raiyan Kama Azlan pada babak kedua dilihat tidak berjaya membuahkan hasil untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Hassan tidak terlalu kecewa kerana Malaysia masih berjaya mengutip satu mata dengan Singapura kental bertahan sepanjang perlawanan.

Dengan keputusan ini, Malaysia kini berada di tangga teratas dengan empat mata, satu mata dihadapan berbanding Laos, Kemboja dan Timor Leste dan akan berhadapan Timor Leste pada 11 Julai ini dengan kemenangan pastinya akan menjamin tempat skuad negara di peringkat separuh akhir.