FOTO : Anuar Ibrahim Bakar
LEGENDA bola sepak Kedah, Faridzuan Che Hamid, kini dilaporkan semakin pulih selepas menjalani rawatan komplikasi usus di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Menurut Faridzuan, kini kesihatannya semakin baik tetapi tetap masih perlu untuk melakukan pemeriksaan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Alhamdulillah kesihatan saya bertambah baik sekarang cumanya saya masih perlu ke HSB untuk membuat check-up,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.
Sewaktu dilaporkan mengalami masalah kesihatan di hospital, Faridzuan memberitahu bukan hanya keluarga, malah ramai diantara kenalannya sentiasa menjaga dan mengawasi keadaan kesihatannya.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada isteri dan anak- anak saya yang sentiasa menjaga saya ketika saya berada di dalam wad.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada doktor, jururawat, ahli keluarga yang terdekat serta jauh dan tidak lupa juga sahabat handai rakan taulan yang mengingati saya,” katanya.
Anak jati Pulau Tuba, Langkawi itu juga tidak lupa untuk menyampaikan bait-bait pesanan kepada penyokong-penyokong yang selama ini mendoakan kesejahteraan dirinya.
“Kepada peminat yang mendoakan saya semasa saya berada dalam HSB, saya ucapkan terima kasih hanya Allah saja dapat membalas segalanya,” katanya lagi.
Terdahulu, Faridzuan yang dilaporkan mengalami masalah komplikasi usus telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan hampir ditidurkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi meneruskan rawatan lanjut pada Ogos bulan lalu.
ARTIKEL BERKAITAN : Legenda Hijau Kuning, Faridzuan Che Hamid masuk hospital