SELANGOR FC terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan Liga Super selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuching City FC di Stadium MBPJ, Jumaat malam.

Skuad kendalian Nidzam Jamil mempamerkan corak permainan dominan sejak awal perlawanan, menguasai bola dan mencipta pelbagai peluang di bahagian serangan. Mereka tidak memberi ruang kepada Kuching City untuk bernafas, dengan Selangor memberikan tekanan yang konsisten terutamanya di bahagian sayap kanan.

Ronnie (tengah) meraikan jaringan pertama Selangor FC.

Gol pertama perlawanan hadir pada minit ke-10 apabila Ronnie Fernandez memasukkan bola masuk hasil hantaran silang yang tepat. Jaringan tersebut disahkan selepas semakan VAR, melegakan penyokong Selangor yang memenuhi stadium.

Meskipun Kuching City berusaha untuk bangkit, percubaan awal mereka melalui penyerang utama, Tchetche Kipre, pada minit ke-8 hanya tersasar jauh. Selangor, bagaimanapun, tidak memberi peluang mudah kepada pasukan pelawat dan terus menguasai permainan dengan Alvin Fortes hampir menambah jaringan melalui sepakan dari tengah padang pada minit ke-25.

Pada minit ke-29, Kuching City hampir dihukum apabila kesilapan penjaga gol mereka membuka ruang buat Nor Al Rawabdeh, namun percubaan pemain Selangor itu gagal menemui sasaran.

Hantaran silang Alvin Fortes pada minit ke-31 sekali lagi mencetuskan bahaya buat pertahanan Kuching City, namun mereka berjaya mengeluarkan bola dengan clearance yang tepat. Beberapa minit kemudian, Selangor mendapat sepakan percuma pada jarak 40 meter, tetapi percubaan kapten pasukan, Nor Al Rawabdeh, tidak berjaya melepasi benteng pertahanan.

Memasuki babak kedua, Kuching City cuba melancarkan serangan balas untuk mencari gol penyamaan, tetapi barisan pertahanan Selangor yang diketuai oleh Umarbek Yusuf Ugli kekal fokus dan menutup ruang serangan lawan dengan baik.

Selangor tidak memperlahankan rentak permainan dan menambah jaringan kedua pada minit ke-66. Penyerang baharu, Ali Olwan, berjaya menyempurnakan peluang hasil kombinasi one-two bersama Ronnie Fernandez, menjadikan kedudukan 2-0.

Gol ketiga hadir pada minit ke-74 apabila Umarbek Yusuf Ugli menanduk masuk bola dari sepakan penjuru sebelah kanan, meletakkan Selangor dalam kedudukan yang sangat selesa.

Pasukan tuan rumah mengesahkan kemenangan besar mereka apabila lorongan cantik daripada Nor Al Rawabdeh berjaya disudahkan oleh Alvin Fortes pada minit ke-79, memastikan Selangor menang dengan keputusan muktamad 4-0.

Dengan kemenangan ini, Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ke-2 di belakang Johor DT dengan perbezaan 3 mata.