BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan rentak kecemerlangan apabila menempah tiket final Terbuka Hong Kong selepas menewaskan beregu wanita Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di separuh akhir, sebentar tadi.
Bertemu dengan gandingan Korea Selatan yang juga merupakan beregu wanita no 2 dunia itu, pasangan negara terpaksa berkerja keras untuk memenangi perlawanan 22-20, 17-21, 21-15.
Rekod pertemuan antara Pearly-Thinaah dan beregu Korea Selatan itu cukup seimbang (2-2) sebelum perlawanan berlangsung.
Perlawanan set pertama yang berlangsung selama 21 minit memperlihatkan kebangkitan yang menakjubkan oleh Pearly-Thinaah yang pada satu ketika ketinggalan 14-19 sebelum bangkit mengikat kedudukan 20-20 dan menang 22-20.
Set kedua menyaksikan beregu negara tidak mampu mengekalkan prestasi set sebelumnya, tewas dengan keputusan 17-21.
Pearly-Thinaah membaiki semula permainan mereka pada set penentuan dengan mempamerkan persembahan yang lebih baik dan tidak memberikan Ha Na-So Hee ruang untuk bangkit sebelum menang dengan keputusan 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 13 minit.
Menunggu Pearly-Thinaah dalam perlawanan akhir esok ialah pemenang di antara beregu Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong atau beregu China yang juga pilihan kedua, Liu Sheng Shu-Tan Ning.