PASUKAN Kuala Lumpur Thunder berjaya menempah slot ke final Sepak Takraw League (STL) Premier 2024 bagi GP Selangor selepas menumpaskan Selangor Pistons dalam saingan separuh akhir dengan keputusan 2-0 (15-10, 15-8).

Kemenangan KL Thunder menjadi bukti bahawa mereka pasukan pertama yang akan mara ke aksi final, menunggu lawan sama ada PDRM Defenders atau Perak Bison.

KL Thunder yang dibarisi pemain kebangsaan iaitu Syahir Rosdi selaku tekong manakala Mohd Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) menafikan cabaran Selangor Pistons dengan meninggalkan jurang lima mata untuk mendahului 15-10 sebelum mula set kedua.

Skuad kendalian Noor Azman Abd Hamid (Selangor Pistons) yang dibarisi pemain Aizat Azmi (tekong), Ariff Daniel (apit kanan) dan Arif Badri (apit kiri) seakan cuba bangkit semula pada set kedua namun sekali lagi gagal untuk mengawal bola yang dihantar oleh tekong kebangsaan, Syahir Rosdi.

Aksi KL Thunder dan Selangor Pistons.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Selangor sekali gus memberikan kelebihan dan mata kemenangan buat KL Thunder untuk mara ke final yang akan berlangsung di Stadium Melawati malam ini.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung petang ini, PDRM Defenders akan bertemu juara STL tahun lalu, Perak Bisons untuk acara GP 1 (Selangor) ini.

Ia menjadi detik yang ditunggu oleh peminat Perak Bisons untuk kembali melihat pasukan mereka mara ke final, demikian juga skuad PDRM yang pasti ingin menghampakan misi kemenangan Perak.