SELANGOR Pistons berjaya meraih kemenangan dalam sesi penentuan tempat ketiga keempat STL Premier GP Selangor sekali gus menundukkan PDRM Defenders untuk jatuh di tempat keempat.

Zuhri Mohd Zin selaku tekong untuk malam ini sempat berkongsi bahawa pasukannya mempunyai kelebihan daripada segi kurang melakukan kesilapan dalam perlawanan, dan itu membolehkan mereka untuk mendominasi set kedua dan ketiga.

Perlawanan yang terpaksa diheret ke set penentuan itu turut membuatkan Zuhri akur akan tekanan yang dirasai ketika ketinggalan pada set pertama (9-15) oleh PDRM.

Namun, satu aksi cukup cemerlang dan kuasa bangkit kembali daripada kekalahan set pertama itu cukup menarik apabila mereka terus menidakkan kemampuan PDRM Defenders dan menang set kedua sejurus set penentuan (15-9, 15-4).

Pasukan Selangor Pistons menang tempat ketiga STL Premier GP 1.

“Syukur atas kemenangan malam ini, dari segi kekuatan kami tidaklah mempunyai kekuatan seperti pasukan negeri lain. Selangor dibarisi ramai pemain muda bamun berkat perancangan dan latihan mencukupi, itu membantu kami dalam perlawanan ini.

“Tekanan ketika ketinggalan itu sudah tentu ada, tapi dalam fikiran saya menang mereka itu belakang cerita. Kita cuba dapatkan rentak permainan pasukan kita dahulu. Jurulatih juga beri motivasi dan bagi nasihat berkaitan teknik dan semangat supaya tidak putus asa.

“PDRM juga kita akui merupakan satu pasukan kuat, tapi sebab Selangor melakukan kurang kesilapan malam ini. Jadi saya rasa pasukan mereka akan bangkit kembali dalam sirkit akan datang,” ujar Zuhri ketika ditemubual FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan.