KEDAH Darul Aman FC (KDA) kehilangan seorang lagi tonggak utama mereka musim ini apabila penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz, disahkan telah meninggalkan pasukan dan kini beralih ke Selangor FC.

Kekecewaan penyokong terhadap masalah yang sedang melanda pasukan kesayangan mereka belum sempat reda, kini mereka terpaksa pula merelakan pemergian pemain kesayangan demi masa depannya.

Seorang penyokong tegar KDA FC, Puaka Jerai, turut meluahkan kesedihan mendalam apabila mendapat tahu perkara yang harus dihadapi oleh dirinya dan penyokong lain.

“Saya ada berjumpa dengan dia (Kalamullah) semalam, dan dia sempat beritahu kepada saya yang dia sayangkan pasukan KDA dan penyokong-penyokong semua,

“Dia pun sudah sign dengan Selangor dan terpaksa tinggalkan Kedah dan dia sempat bagitahu saya yang beliau sememangnya sayangkan KDA serta penyokong, KDA sudah seperti satu keluarga baginya,” katanya yang merupakan Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 2 people, people playing American football, people playing football and text

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada penyokong Kedah marah dengan pemergian Kalamullah, Puaka Jerai atau nama sebenarnya, Zulkifli Hashim memberikan jawapan berhubung keputusan yang diambil oleh penjaga gol itu.

“Seperti yang kita tahu, pasukan sedang mengalami masalah jadi saya redha dengan perkara ini kerana beliau juga mempunya keluarga yang perlu ditanggung, jadi saya faham dengan perkara itu,

“Untuk menyara keluarga dengan keadaan KDA seperti ini, agak susah untuk itu. Jadi tempoh hari beliau sempat memberikan saya jersinya untuk dijadikan kenang-kenangan bersama KDA.” katanya lagi.

Flash Sukan sempat meninjau beberapa platform media sosial, dan secara keseluruhan, reaksi penyokong KDA terhadap berita kehilangan tonggak utama mereka dipenuhi dengan rasa sedih.

Very sad to see a great player leaving,” kata bekas jurulatih Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak.

“Sedihnya jadi setia, sakit sangat nak terima kenyataan pasukan kesayangan jadi seperti ini,” ungkap Ban.

“Hilang satu permata yang sedang meningkat naik, semua dah tertulis. Selamat jalan keeper Kedah, semoga baik-baik di pasukan yang baru,” tulis Ady Utara Adi Utara. 

May be an image of 6 people, people playing American football, people playing football and text

Menurut Puaka Jerai, pemain-pemain KDA yang lain masih menanti langkah seterusnya, kerana mereka sememangnya tidak sampai hati untuk meninggalkan pasukan kesayangan mereka ini.

“Macam pemain-pemain yang lain, mereka tunggu dulu lepas ni kerana mereka ada beritahu mereka tidak tergamak untuk meninggalkan Kedah ini,” katanya lagi.

Puaka Jerai merayu kepada pihak pengurusan dan mereka yang bertanggungjawab agar segera mengambil tindakan untuk pasukan kesayangan mereka, kerana bagi rakyat negeri Kedah, KDA FC adalah tempat kebahagiaan mereka.

“Rakyat Kedah hanya ada itu sahaja, itulah menjadi hiburan untuk kami negeri jelapang padi ni.

“100 tahun ini sepatutnya kita ada sinar untuk pasukan ini dan musim ini tapi berlaku disebaliknya itu yang sangat-sangat mendukacitakan seluruh penyokong bola sepak negeri kedah ni. 

“Pihak bertanggjungjawab tolong la berfikir apa yang mereka perlu lakukan untuk selamatkan bola sepak ni,” ujarnya.

May be an image of 5 people, people playing football, people playing American football and text

Seperti yang diketahui umum masalah yang melanda KDA FC ketika ini, penyokong-penyokong mengecam tindakan segelintir pihak yang hanya berdiam diri.

“Kami tak mahu dengar alasan tiada duit, kami cuma nak pihak bertanggungjawab berusaha untuk perkara ini bukannya berdiam diri begitu sahaja supaya kami sebagai penyokong ni mengetahui apa yang berlaku,” tegasnya.

Sejak menyertai KDA FC pada akhir 2022, Kalamullah telah mencatatkan 36 penampilan dan 14 rekod tanpa bolos dalam semua kejohanan, termasuk lima perlawanan tanpa bolos untuk musim 2024/25.

Beliau juga berjaya membantu Kedah mara ke separuh akhir Piala FA 2024 sebelum disingkirkan oleh juara, Johor Darul Ta’zim FC (JDT).

Terima kasih Kalamullah, Biar Jasa Jadi Kenangan.