KETUA jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengesahkan pemain tengah, Jude Bellingham dan Aurelien Tchouameni sudah pulih daripada kecederaan ketika Los Blancos memulakan misi untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara mereka.

Juara 15 kali itu akan berdepan kelab Jerman, Stuttgart di Santiago Bernabue, awal pagi Rabu ini dan kehadiran semula Belllingham serta Tchouameni memberi tonik tambahan kepada kelab berkenaan.

Pemain pertahanan, Eder Militao tidak menjalani latihan, hari ini tetapi Ancelotti berkata pemain Brazil itu juga bersedia untuk diturunkan dalam pertemuan menentang Stuttgart.

“Bellingham dalam keadaan baik, begitu juga Tchouameni dan Militao juga akan bersedia untuk esok (awal pagi Rabu) walaupun dia tidak menjalani latihan hari ini kerana memerlukan satu hari lagi untuk pemulihan,” kata Ancelotti.

“Dua pemain penting sudah kembali tetapi kami juga tidak bernasib baik kerana kehilangan seorang lagi pemain penting (Brahim Diaz).”

Pemain tengah England itu menjadi watak penting Real musim lalu yang menyaksikan kelab berkenaan menewaskan Borussia Dortmund dalam aksi final di Stadium Wembley, Jun lalu.

Dalam pada itu, Ancelotti berkata kekal teruja untuk sekali lagi bergelar juara dalam saingan musim ini.

“Kami teruja seperti biasa, apa yang pertandingan ini bawa kepada kami, di mana kelab ini watak utama untuk sekian lama.

“Liga Juara-Juara adalah istimewa untuk Real Madrid, kami akan cuba bersaing sehingga tamat,” katanya.