PASUKAN Stallion Kjljd mencatat kemenangan kedua dalam Malaysia Indoor Hockey League 2024 (MIHL 2024) selepas menewaskan Malaysia University-THT (MU-THT) dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Sport Arena, IOI City Mall, Putrajaya.
Perlawanan menyaksikan MU-THT, yang kini di tangga tercorot liga dengan dua kekalahan berturut-turut, cuba bangkit menentang Stallion yang berada di tangga keenam.
Stallion, di bawah bimbingan jurulatih Muhammad Izuan Misman, memulakan perlawanan dengan agresif, memperoleh pukulan sudut penalti pada minit keenam yang disempurnakan oleh Azwadi Ridzuan.
Stallion kemudian menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti kedua oleh Zul Yadain Kasam pada minit kesembilan, meletakkan pasukan mereka selesa dengan kelebihan 2-0 pada suku pertama.
Malaysia University-THT yang dikendalikan oleh jurulatih Azlansaufi Ahmad Supian, berjaya mengurangkan defisit apabila Arif Syafie Ishak menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19. Namun, sepanjang suku ketiga, MU-THT gagal menambah jaringan meskipun Muhammad Hafizudin hampir-hampir menyamakan kedudukan, tetapi cubaan beliau dinafikan oleh penjaga gol Stallion.
Suku keempat memperlihatkan perlawanan yang seimbang dengan kedua-dua pasukan bermain berhati-hati. MU-THT memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh, tetapi usaha mereka untuk menyamakan kedudukan gagal selepas penjaga gol Stallion melakukan halangan yang cemerlang.
Keputusan penuh menyaksikan Stallion Kjljd menewaskan MU-THT 2-1, kemenangan yang penting buat Stallion dalam usaha memperbaiki kedudukan mereka di carta liga. Kapten Stallion, Faizul Syafiq, menyatakan kepuasan dengan kemenangan tersebut walaupun mengakui pasukan tidak mempunyai cukup masa latihan selama dua minggu.
“Walaupun cedera, saya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran,” ujar Faizul selepas perlawanan.
Stallion akan berdepan DBKL HT dalam perlawanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung esok pada pukul 6:30 petang, manakala MU-THT perlu mencari jalan untuk memperbaiki prestasi mereka jika mahu mara ke separuh akhir MIHL 2024, di mana hanya empat pasukan terbaik layak ke pusingan tersebut.