JUARA enam kali, Liverpool meraikan kepulangan ke Liga Juara-Juara Eropah selepas hilang setahun dengan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan di San Siro.
Walaupun bermula perlahan, skuad kendalian Arne Slot memastikan tiga mata dengan jaringan Ibrahima Konate, Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai.
Pertembungan antara dua gergasi Eropah itu menyaksikan Milan menghukum benteng Liverpool dengan jaringan minit ketiga Christian Pulisic.
Namun pelawat mula menguasai permainan dan kedua-dua bek tengah Liverpool menemui sasaran sebelum rehat, dengan Szoboszlai memastikan kemenangan di babak kedua.
“Cara yang hebat untuk meraikan hari lahir saya. Anda tidak akan boleh berkata begini selepas lima minit, tetapi selepas itu kami bermain dengan baik,” kata pengendali Liverpool, Arne Slot yang mencapai usia 46 tahun semalam.
Kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Liverpool mula menguasai permainan hingga tamat.
“Permulaan goyah dengan gol yang dibolosi. Tetapi selepas itu, dengan ketenangan ditunjukkan, terus bermain, cuba mencari jawapan, saya rasa ia sangat baik untuk dilihat,” kata Van Dijk.
Konate menyamakan kedudukan pada minit ke-23 apabila dia melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma Trent Alexander-Arnold – gol pertamanya dalam tempoh dua tahun setengah.
Kapten Van Dijk meletakkan Liverpool di depan selepas dia menanduk masuk sepakan sudut Kostas Tsimikas sebelum rehat.
Szoboszlai mengesahkan kemenangan pada minit ke-67 dengan menyempurnakan hantaran Cody Gakpo.
Ia adalah perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pertama Slot bersama Liverpool sejak dia menggantikan Jurgen Klopp.
Mereka juga berjaya menebus kekecewaan Liga Perdana Inggeris selepas dikejutkan 1-0 oleh Nottingham Forest di Anfield pada Sabtu.
Kali terakhir pasukan pelawat bangkit meraih kemenangan Liga Juara-Juara di San Siro adalah Liverpool pada Disember 2021.