KETUA jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi menegaskan bahawa perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara menentang Manchester City bukanlah satu perlawanan ulangan final tahun lalu.
Menurutnya, dengan format baharu kali ini, perlawanan tersebut tidak boleh dianggap sebagai pertembungan semula yang berkaitan dengan final sebelumnya.
“Saya ada menonton semula perlawanan akhir itu sebulan yang lalu, ketika itu kami berada di kem latihan,
“Saya tidak fikir ia adalah perlawanan semula kerana ia bukan perlawanan akhir dan ia adalah perlawanan kumpulan dalam format baharu Liga Juara-Juara kali ini,” Kata Inzaghi yang dipetik daripada youtube rasmi Inter Milan.
Inzaghi turut menambah bahawa dia telah menggesa pasukannya untuk bermain dengan lebih agresif, memandangkan City tidak pernah tewas di laman sendiri dalam pertandingan tersebut sejak 2018.
“Kami akan memerlukan banyak komponen untuk membuat perlawanan esok menjadi hebat,” katanya lagi.
Sementara itu, penjaga gol Inter Milan, Yann Sommer, menyifatkan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini pasti akan menjadi pertarungan yang lebih menarik untuk disaksikan.
“Perlawanan esok akan jadi lebih bagus dan menarik untuk dimainkan dan sudah tentu kami mahu yang terbaik untuk Liga Juara-Juara musim ini.
“Kami membuat persiapan yang sangat baik dan kami akan bersedia untuk esok dan saya menantikan peluang yang besar.”
Pasukan juara Serie A itu tewas 1-0 kepada skuad kendalian Pep Guardiola dalam perlawanan akhir 2023.
Inter Milan akan bertandang ke Manchester untuk melengkapkan perlawanan pembukaan mereka jam 3 pagi Khamis.