PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mewujudkan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) demi menjamin prestasi skuad Harimau Malaya.
Dua perkara itu dituntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kerajaan bersetuju memberi komitmen menyediakan peruntukan RM15 juta, dalam usaha membantu memperkasa skuad kebangsaan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu siaran media yang dikongsikan, memaklumkan peruntukan tersebut meliputi usaha memperkasa skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Tuntutan itu dikemukakan oleh Anwar dalam pertemuan dengan kepimpinan FAM yang dihadiri Presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman pada hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dan Timbalan KP MSN, Jefri Ngadirin.
Siaran media itu turut memetik Anwar sebagai berkata: “Peruntukan sebanyak RM15 juta akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan KBS”.
Untuk makluman, peruntukan sebanyak RM15 juta itu diumumkan oleh Anwar pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada 3 September lalu, RM10 juta daripada kerajaan manakala baki RM5 juta lagi merupakan tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.