PROGRAM Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bakal melalui proses penilaian semula oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat bantuan badan induk bola sepak asia iaitu Konfederasi Bola Asia (AFC) bagi melaksanakan tujuan itu.

“KBS akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula (review) keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan,” kata Hannah, dalam kenyataan yang diedarkan.

Difahamkan, penilaian semula itu perlu dilakukan sekiranya mahu penambahbaikan dibuat terhadap program pembangunan bola sepak yang bermula dari tahun 2011 itu.

Untuk rekod, NFDP adalah program pembangunan bola sepak menyeluruh kepada komuniti berumur 7 hingga 17 tahun di setiap negeri yang terdiri daripada Akademi Tunas Lelaki & Wanita, Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Akademi Peringkat Zon.

Di bawah NFDP, terdapat Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) yang merupakan sebuah akademi elit bagi program pembangunan bola sepak negara dengan objektif setiap pemain elit yang ditempatkan di situ akan terpilih untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.

Visi yang digariskan dalam NFDP adalah untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten.