SERAMAI 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) yang telah diadakan baru-baru ini di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, Selangor.

Klinik STL ini adalah klinik kedua yang telah diadakan selepas program pertama diadakan di Sekolah Kebangsaan TTDI 1 pada bulan lalu melalui kerjasama bersama Klinik Penggalakkan Sukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sempena Hari Malaysia, Astro turut meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan dalam kempen Inilah KITA dan menyuntik semangat patriotisme di kalangan pelajar menerusi Klinik STL yang diadakan.

Selain itu, Klinik STL diserikan dengan kehadiran pemain-pemain dari pasukan Selangor Pistons dan Bomba Fighters dan ini adalah peluang kepada semua golongan pelajar untuk mengenali dan mendekati idola mereka dengan lebih dekat serta mempelajari asas-asas sukan ini.

Hos STL, Alice Harun turut memberikan tunjuk ajar kepada peserta-peserta klinik.

Penolong Naib Presiden Kanan, ESG Astro, Jolyn Gasper berkata: “Astro meneruskan komitmen dalam memperkasakan sukan tempatan dari peringkat akar umbi melalui Klinik STL dan objektif utama Klinik STL ini adalah untuk memupuk minat serta mencungkil bakat di kalangan murid-murid dalam bidang sukan terutama sukan sepak takraw, selain memberi peluang keemasan kepada mereka untuk beramah mesra

bersama pemain-pemain professional yang dibawa ke setiap Klinik yang diadakan.

“Rentetan kejayaan program Astro Kem Badminton yang telah dianjurkan sejak 2012, Klinik STL ini juga merupakan inisiatif kelestarian Astro Kasih bersama Astro Arena dalam mengilap bakat baru serta melahirkan atlit berprestasi tinggi atau jaguh sukan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti”.

“Klinik STL yang telah memasuki musim kedua ini semakin meriah dimana kita akan menjelajah ke sekolah terpilih seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Perak. Bukan itu sahaja, dua lokasi Klinik STL iaitu di Pulau Pinang dan Johor akan dibuka kepada generasi muda yang berumur 13 tahun sehingga 17 tahun tidak kira lelaki atau wanita dapat menyertainya, nantikan perkembangan untuk menyertai Klinik STL ini nanti di laman Instagram rasmi ; stl.my,” tambahnya.

Asas kemahiran sepak takraw yang kendalikan oleh pemain Selangor Pistons.

Jelas Jolyn, Astro juga turut berbesar hati dengan sokongan dana yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga sokongan penganjuran oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan memberikan pengiktirafan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaaan peringkat negeri kepada pelajar-pelajar yang menyertai program pembangunan bakat ini.

Demi memupuk semangat mereka untuk bersukan dan minat kepada sukan tradisi ini, Astro turut memberi tiket percuma kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan Klinik STL untuk menyaksikan kejohanan STL yang terunggul ini di setiap negeri.