KEKUATAN psikologi dan kondisi angin, membantu pasangan beregu campuran ke-12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton, Jelajah Dunia Super 1,000, Terbuka China.

Pada aksi suku akhir hari ini, Soon Huat-Shevon menghadapi cabaran getir dari pasangan tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang juga gandingan kedua dunia, dengan rekod pertemuan 5-0 memihak pasangan lawan.

Namun, keinginan dan kekuatan mental mengatasi segala-galanya, ketika pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan 23-21, 21-16.

“Sebelum perlawanan lagi saya tahu, saya perlu atasi ketakutan ini, ia menjadi satu perlawanan psikologi untuk saya dan kami melakukannya dengan amat cemerlang hari ini,” kata Shevon, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Goh Soon Huat-Shevon Lai mengejutkan pasangan nombor 2 dunia dari China.

Mengakui latihan keras dilalui sebelum ini, banyak membantu meningkatkan keyakinan pasangan itu yang cukup cemerlang memungut mata-mata penting terutamanya pada kedudukan di set pertama.

“Kondisi di gelanggang juga memberi kelebihan kepada kami kerana angin agak kuat, kami berjaya memahami situasi itu dan mengawal permainan dengan baik,” katanya lagi.

Kemaraan Soon Huat-Shevon itu menyaksikan hanya satu wakil negara dalam beregu campuran ke separuh akhir Terbuka China, selepas pasangan muda dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gugur di suku akhir.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terpaksa akur, gagal ke separuh akhir pertama kejohanan berstatus Super 1,000.

Pang Ron-Su Yin yang menghuni tangga ke-32 dunia, gagal menyaingi pasangan ke-16 dari Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja, 14-21, 9-21.

Turut ke separuh akhir, juara beregu lelaki Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Pasangan yang kini bergelar pemain profesional itu menyingkir pasangan BAM yang sebelum ini mengejutkan juara dunia  dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Pertembungan antara pemain nombo 12 dan 13 dunia dari Malaysia itu cukup sengit namun Sze Fei-Nur Izzuddin lebih berpengalaman dan melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan21-19, 21-18.