CUACA tidak menentu dengan hujan dan angin kencang yang melanda di kawasan utara tanah air, menyaksikan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memantau untuk kelancaran perlumbaan berbasikal lebuh raya antara terulung di Asia itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Abdul Rashid Yaakub, mereka memantau keadaan cuaca di sebelah utara terutamanya di Pulau Langkawi berikutan negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis kini sedang mengalami bencana banjir.
“Kita memang rasakan kebimbangan itu dan saya rasa semua orang pun maklum dengan keadaan cuaca terutama di kawasan pantai barat. Begitu juga di kawasan pantai kerana angin sangat kencang kerana ada peristiwa di mana feri tidak dapat bergerak ataupun berjalan,” katanya.
Rashid yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, meskipun bimbang, penganjur mempunyai masa tempoh kira-kira 10 hingga sembilan hari untuk melakukan sebarang persediaan mahupun perubahan.
“Insya Allah, kita harapkan cuaca itu memberi kemudahan untuk kita dan dapat meneruskan perlumbaan ini dengan lancar. Walau macam mana sekali pun kita bersedia dengan sebarang keadaaan.
“Bagaimanapun, untuk menukar laluan mungkin sukar nak ubah, mungkin masa pertandingan boleh dilakukan sedikit perubahan jika terdapat keperluan di situ,” katanya.
Sebanyak 22 pasukan akan beraksi dalam perlumbaan berstatus 2.pro itu yang membuka tirai 29 September dengan menempuh jarak keseluruhan 1,190 kilometer bermula di Pulau Langkawi dan buat julung kalinya akan memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak.
Perlumbaan berprestij Asia itu akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highland (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7) dan Bintulu (Peringkat 8).