PELAKSANAAN ujian doping perlu dilakukan secara berkala, bukan hanya ketika pertandingan.
Legenda bina badan negara, Datuk Abdul Malek Mohamed Noor, berkata, penguatkuasaan doping juga perlu dilakukan sepanjang musim latihan.
Menurut bekas Mr Universe itu, ujian doping di luar musim pertandingan amat penting bagi memastikan atlet bina badan bebas daripada penggunaan bahan terlarang.
“Kalau kita mahu menangkap mereka (atlet yang guna bahan terlarang), buat ujian waktu latihan atau musim rehat. Kebanyakan atlet menggunakan bahan terlarang pada waktu berkenaan,” kata Malek ketika ditemui baru-baru ini.
Malek turut melahirkan rasa kecewa, terhadap atlet yang terbabit dalam penggunaan bahan terlarang dan menegaskan bahawa walaupun steroid dapat membantu atlet membina tubuh sasa dengan cepat, risikonya amat besar.
“Mereka mengambil bahan terlarang kerana ingin membesarkan otot dengan cepat, tetapi tidak sedar kesan buruknya terhadap jantung, buah pinggang dan pelbagai masalah kesihatan lain,” katanya.
Ujarnya lagi, kepentingan kesihatan dan integriti dalam sukan bina badan harus diutamakan.
Sebelum ini, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengesahkan beberapa atlet bina badan yang menyertai Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-53 di Johor Bahru bulan lalu, dikesan positif dalam ujian doping.
Keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang seperti Stanozolol dalam sampel ujian atlet.