NEGERI Sembilan FC menambah kekuatan bahagian tengah apabila mengumumkan Sebastian Avanzini sebagai pemain import baharu untuk membantu kelab meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super 2024-2025.
Bermain di posisi tengah, Avanzini bukanlah asing di kalangan penyokong bola sepak Malaysia kerana sebelum ini dia pernah mewakili Kuala Lumpur City FC pada musim 2023.
Pemain berusia 29 tahun itu beraksi dalam 31 perlawanan bersama KL City dan telah menjaringkan dua gol serta melakukan empat bantuan jaringan dan turut membantu skuad warga kota layak ke final Piala FA 2023.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Nanthakumar, jelas gembira dengan kehadiran Avanzini ke dalam pasukan, yang pastinya memberi suntikan kualiti terutamanya pada bahagian tengah.
“Dia membawa pengalaman yang luas, dan kami yakin kemahiran serta kebolehannya di atas padang akan memberi impak yang besar kepada pasukan.
“Kami barisan kejurulatihan akan membantu dia menyesuaikan diri dengan sistem permainan kami dan dia telah mula turun berlatih bersama pasukan serta menunjukkan komitmen yang baik dalam sesi latihan.
“Penambahan pemain ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk bersaing dalam liga, dan kami percaya Avanzini dapat membantu kami mencapai matlamat tersebut,” jelasnya.
Avanzini dijangka akan diturunkan buat pertama kali apabila Negeri Sembilan FC bertandang ke Stadium Bandaraya untuk bertemu Penang FC pada Ahad dalam usaha membawa pulang tiga mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.