PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari, berkemungkinan mengakhiri aksi bola sepak lebih awal untuk musim 2024/25 selepas mengalami kecederaan serius ketika perlawanan menentang Penang FC.

Pemain berusia 26 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-76, menggantikan Oscar Arribas, dalam perlawanan yang menyaksikan JDT meraih kemenangan besar 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Walaupun membantu pasukannya mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super, nasib tidak menyebelahi Syahmi apabila beliau terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan pada lututnya.

Kecederaan tersebut berlaku akibat terjahan keras oleh pertahanan Penang,ketika Syahmi cuba menghalang serangan  dari sayap kanan JDT.

Story Instargram yang dipaparkan di profil Syahmi Safari semalam.

Dalam satu hantaran di Instagram beliau, Syahmi dilihat memberi isyarat awal bahawa musim ini mungkin menjadi yang terakhir buatnya apabila mengucapkan, “Terima kasih musim 2024/25.”

Hantaran ini mencetuskan spekulasi bahawa beliau tidak akan beraksi lagi untuk baki perlawanan musim ini.

Kecederaan Syahmi Safari memberikan tamparan buat JDT, yang kini perlu mengatur semula strategi di bahagian pertahanan menjelang baki saingan musim ini, terutamanya dalam misi mereka untuk meneruskan dominasi di Liga Super dan pertandingan lain di peringkat domestik serta antarabangsa.