PERJALANAN cemerlang beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie, di Kejohanan Terbuka China berakhir dengan kekecewaan apabila mereka tewas kepada pasangan No 3 dunia, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping, dalam perlawanan akhir beregu campuran di Changzhou, sebentar tadi.
Soon Huat-Shevon, yang kini berada di ranking No 12 dunia, tidak berjaya memanfaatkan permulaan yang baik apabila tewas 16-21, 21-14, 21-17 kepada pasangan China tersebut di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.
Pada set pertama, pasangan negara memberikan saingan sengit dengan tekanan berterusan yang memaksa beregu China bekerja keras dan akhirnya membuahkan hasil kemenangan di set pembukaan.
Namun, set kedua menyaksikan perlawanan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling memberi tekanan.
Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengakhiri #ChinaOpen2024 sebagai naib juara!
— Flash Sukan (@FlashSukan) September 22, 2024
Walau bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila beregu China mengambil alih rentak perlawanan dan mula memberikan tekanan hebat sehingga memaksa Soon Huat dan Shevon melakukan beberapa kesilapan kecil yang kritikal.
Pasangan suami isteri itu berjaya menyelamatkan enam mata perlawanan ketika ketinggalan 11-20 dalam set ketiga, namun usaha tersebut tidak cukup untuk menghalang Yan Zhe, Dong Ping daripada meraih gelaran ketiga Jelajah Dunia mereka tahun ini.
Meskipun gagal muncul juara, mereka masih pulang dengan hadiah lumayan berjumlah AS$70,000 (RM294,000) selaku naib juara.
Ini merupakan penampilan sulung Soon Huat-Shevon dalam perlawanan akhir Super 1000.
Sebelum ini, pasangan Malaysia ini telah mencipta kejayaan dengan menjuarai Kejohanan Terbuka Swiss dan Malaysia Masters sebelum beraksi di Terbuka China.