PASANGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mencipta kejutan di pentas akhir Terbuka China 2024 apabila berjaya menumbangkan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, yang berada di ranking kelima dunia, dengan keputusan 13-21, 21-12, 21-17 dalam perlawanan rubber set yang penuh mendebarkan.
Pada set pertama, pasangan China memulakan aksi dengan agresif, mendahului 6-0 pada awal permainan hasil beberapa kesilapan mudah daripada pasangan Malaysia.
Permainan laju yang dipamerkan oleh pasangan Ji Ting-Xiang Yu terus memberi tekanan kepada Sze Fei-Izzuddin, yang kelihatan sedikit gugup apabila kerap gagal menepis smash pantas lawan. Kesilapan demi kesilapan oleh pasangan negara membuka ruang kepada pasangan China untuk terus menambah mata, sekaligus mengakhiri set pertama dengan kemenangan selesa 21-13 dalam tempoh 19 minit.
Namun, momentum perlawanan berubah pada set kedua. Malaysia, yang bermula dengan pantas, terus mendahului 2-0 selepas cabaran berjaya terhadap keputusan bola masuk.
Kesilapan berulang oleh Xiang Yu di jaring memberi mata mudah kepada Malaysia. Pasangan negara semakin agresif, mengawal rentak permainan dan mendahului 10-5. Walaupun China cuba bangkit pada penghujung set, Sze Fei-Izzuddin kekal tenang dan memastikan kemenangan 21-12 untuk membawa perlawanan ke set penentuan.
Di rubber set, pasangan Malaysia meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului 3-0. China cuba mengejar dan permainan bertukar sengit apabila kedudukan terikat 8-8.
Namun, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya kekal tenang di bawah tekanan sorakan penyokong tuan rumah. Mereka menjauhkan kedudukan 14-17 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17, sekaligus menobatkan diri sebagai juara Terbuka China 2024 selepas beraksi selama 20 minit di set terakhir.
Kejayaan ini bukan sahaja membawa pulang gelaran juara, tetapi juga hadiah wang tunai USD 148,000, satu pencapaian besar buat pasangan beregu negara.
Ini merupakan kemenangan manis buat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang sebelum ini tewas di suku akhir kepada pasangan China yang sama di Terbuka Singapura 2024.