PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, memuji kebijaksanaan dan kesabaran pasukannya yang berjaya mencuri satu mata penting apabila John Stones menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-98 dalam aksi menentang Arsenal di Etihad Stadium.

Dalam perlawanan yang menyaksikan City mendominasi babak kedua selepas Arsenal terpaksa beraksi dengan 10 pemain, pasukan Guardiola terpaksa menunggu hingga ke saat-saat terakhir untuk mengikat The Gunners yang mendahului 2-1.

Gol tersebut memberikan satu mata penting buat City dalam usaha mereka mempertahankan gelaran juara EPL.

“Kami bermain dengan cemerlang. Kami bijak mentafsir keadaan dan selepas itu ia menjadi soal kesabaran, bakat, dan juga sedikit tuah,” ujar Guardiola.

Walaupun Arsenal cuba untuk melambatkan permainan, City tetap mengekalkan disiplin dan terus menekan kubu lawan. Guardiola memuji penjaga gol Arsenal, David Raya, yang menyelamatkan beberapa percubaan penting daripada City sepanjang perlawanan.

“Raya melakukan tiga atau empat penyelamatan yang hebat, dan nampaknya bola seolah-olah enggan masuk. Tetapi pada percubaan terakhir, John berada di tempat yang betul untuk menjaringkan gol,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Dia turut mengakui bahawa Arsenal membawa jenis permainan yang cuba mengganggu rentak City, namun pasukannya berjaya kekal tenang dan mengawal situasi tersebut.

“Mereka cuba menghentikan permainan, tetapi kami cukup sabar… akhirnya, kami bernasib baik dapat menyamakan kedudukan,” tambahnya lagi.

Perlawanan ini menunjukkan kekuatan mental pasukan Manchester City, yang berjaya bangkit di saat-saat akhir, menjadikan saingan merebut kejuaraan EPL semakin menarik.

Manchester City kini mengguli kedudukan liga dengan 13 mata selepas lima perlawanan dan akan menentang Watford pada Rabu untuk saingan Piala EFL di Stadium Etihad.