PELUANG menjalani latihan bersama pemenang pingat gangsa Olimpik Paris dan Tokyo, menjadi penyuntik semangat buat gandingan remaja negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing membulatkan tekad memburu pingat emas di Kejohanan Remaja Dunia, di Nanchang, China, hujung bulan ini.
Menurut Khai Xing, menjalani latihan bersama, baik sebagai lawan mahupun rakan gandingan memberi manfaat amat besar kepada dia dan Aaron.
“Peluang diberikan coach Rexy, akan digunakan sebaik mungkin.
“Berada di gelanggang yang sama, memberikan aura berbeza, apa lagi berdepan bekas juara dunia.
“Saya mendapat motivasi dan lebih semangat apabila mendapat sokongan (pemain senior) dan memberi panduan jika melakukan kesilapan,” kata Khai Xing, ditemui di ABM.
Menurutnya, hasil latihan bersama itu, banyak aspek perlu dipertingkatkan baik kemahiran mahupun kawalan gelanggang.
Aaron turut menyuarakan keyakinan sama selain pencapaian mereka di Kejohanan Badminton Asia di Yogyakarta, Julai lalu.
“Saya rasa di Kejohanan Remaja Asia, kami agak kepenatan, malah mereka juga penat tetapi berjaya menekan kami.
“Jadi untuk kejohanan ini, kami perlu tingkatkan stamina,” kata Aaron.
Pada Kejohanan Remaja Asia Julai lalu, Aaron-Khai Xing memenangi pingat perak selepas tewas kepada pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di final.
Kedua-duanya juga menyuarakan keyakinan di Kejohanan Remaja Dunia 30 September hingga 13 Oktober ini, selepas mengakui bersedia dari segi fizikal.
Malah, gandingan itu juga telah melonjak ke ranking ke-66 dunia senior.