BERITA baik buat warga negeri Johor, apabila Klinik Liga Sepaktakraw (STL) 2024 khas untuk generasi muda tidak kira lelaki dan perempuan yang berusia 13 sehingga 17 tahun akan diadakan pada masa terdekat ini.
Golongan muda ini dapat diberi peluang untuk sesi ramah mesra dengan pemain bintang STL yang juga merupakan pemain profesional negara.
Klinik STL ini akan diadakan pada 1 Oktober 2024 di Arena Larkin, Johor, selepas selesai mengendali program di Spice Arena, Pulau Pinang pada 19 September lalu.
Peserta akan mempelajari kemahiran asas sepak takraw bersama pemain-pemain profesional STL dan akan berpeluang bermain bersama pasukan pilihan STL di gelanggang yang sebenar.
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, Astro sentiasa komited memperkasakan pembangunan sukan termasuk dari peringkat akar umbi dengan mendekati komuniti bagi mencari bakat baharu dan memupuk anak-anak muda ini meminati bidang sukang khususnya sukan sepak takraw.
“Program ini masih lagi menjelajah ke beberapa buah sekolah-sekolah terpilih seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, dan juga Perak. Melihat sambutan yang begitu menggalakan, Astro turut mengambil inisiatif untuk membuka pendaftaran Klinik STL ini kepada kepada orang ramai mengikut terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor mempunyai pangkalan peminat yang sangat besar dalam sukan sepak takraw, mungkin ini adalah permulaan baik untuk kita mendekati peminat cilik dan generasi muda dengan mengadakan program pembangunan bakat ini dengan lebih besar selepas ini.
Jelasnya, Klinik STL sudah memasuki musim kedua tahun ini dan turut mendapat sokongan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).
Program berkenaan juga mendapat sokongan penganjuran oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan memberi pengiktirafan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaan peringkat negeri kepada pelajar-pelajar yang menyertai program pembangunan bakat ini.